fbpx

Bincang antara rakan mohon satu kerusi UMNO di Kota Raja – Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika berucap pada perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja di Klang hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

KLANG – Persefahaman antara parti dalam Kerajaan Perpaduan dijangka membolehkan satu daripada empat kerusi di bahagian Kota Raja diberikan kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, persefahaman yang terjalin akan membolehkan perbincangan secara harmoni bagi mencapai keputusan yang baik.

“Kita harap di Kota Raja, rakan-rakan (Kerajaan Perpaduan) akan lihat kebersamaan dan takkan daripada empat satu pun tidak boleh diberikan kepada kita.

“Mohon satu kerusi no hal, kita bincang sesama kawan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja di sini, hari ini.

Sebelum ini, Parlimen Kota Raja dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen tersebut iaitu Sungai Kandis, Kota Kemuning dan Sentosa ditandingi komponen Pakatan Harapan (PH).

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, memaklumkan tiada kemusykilan dalam politik dengan kebersamaan itu perlu dilihat menerusi semangat dalam kerajaan perpaduan.

“Dulu Parti Amanah Negara (Amanah) alergik tengok warna merah. Kita pun sama alergik tengok warna dia. Dalam pilihan raya, jentera UMNO sentiasa di barisan hadapan. Di (Pilihan Raya Kecil) Sungai Bakap, kita bantu tetapi nasib tidak sebelahi kita.

“Di (PRK) Pelangai ,rakan-rakan kita membantu dan DAP berada di garisan hadapan dalam dapatkan pengundi-pengundi Cina. Datuk Seri Mohamad Sabu (Presiden Amanah) datang setiap hari membantu calon kita dan PKR (Parti Keadilan Rakyat) membantu dalam menjawab isu-isu,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa tatacara dalam UMNO dan BN dalam berpolitik adalah secara beradab.

“Kita masuk ke rumah dan ketuk pintu. Apabila disuruh duduk selepas dipersilakan masuk jangan terus ke dapur bagi mencari makan sendiri sebaliknya biarlah tuan rumah menjamu,” katanya.

Terdahulu, Ketua Bahagian UMNO Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ucapannya menyatakan hasrat supaya UMNO bahagian tersebut diberikan satu daripada empat kerusi di Kota Raja.

“Berilah peluang kepada UMNO Kota Raja ambil satu kerusi. Tak minta banyak, kami tahu hendak ukur baju di rakan sendiri cuma harapan kami, berilah kami bertanding satu kerusi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI