fbpx

Aku terkapai-kapai tapi Allah lebih sayangkan emak – Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Air mata jantan Awie gugur ketika mendendangkan lagu Kasihnya Ibu pada konsert malam tadi. - AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Tidak mampu menahan sebak, air mata penyanyi Datuk Awie gugur ketika menyampaikan lagu Kasihnya Ibu yang didedikasikan kepada insan istimewa, Allahyarham Azizah Abdul Hamid pada Konsert Awie Journey, malam tadi.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 55, berkata, pemergian bonda tercinta pada 12 Disember 2014 masih meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam dirinya.

“Saat aku terkapai-kapai, doa emak meredakan segala gundah dan lara, namun Allah lebih menyayangi emak yang pergi tiga tahun selepas ayah meninggal dunia.

“Aku reda Ya Allah, tapi sakitnya cukup terasa. Tolonglah Ya Allah, ampuni kedua-dua orang tuaku. Menangislah air mata darah sekali pun, mereka tidak akan kembali. Hanya Kau tempatku memohon,” katanya penuh emosi.

Luahan vokalis band ikonik Wings yang merealisasikan konsert solo mega di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) Kuala Lumpur itu turut meruntun jiwa kira-kira 3,000 penonton.

Tampil dengan vokal serta persembahan bertenaga, Awie nyata menonjolkan aksi luar biasa sepanjang lebih tiga jam mendominasi pentas mega tersebut.

Selain mendendangkan semula Kasihnya Ibu nyanyian asal Datuk Sharifah Aini, vokalis kesayangan ramai itu turut menyampaikan lebih 30 lagu dari awal pembabitan dalam industri muzik.

Antaranya adalah Musibah, Balada Pemuzik Jalanan, Peronda Jaket Biru, Ratuku, Ukiran Jiwa, Nurnilam Sari, Sayap Ilusi, Bara, Ingatkan Dia selain rangkuman medley iaitu Pedih, Iris, Tragedi Oktober, Baldu Biru dan Dibayang Awan.

Konsert Awie Journey adalah kupasan perjalanannya yang diterjemahkan mengikut turutan tahun dari 1985 (kecuali tahun 1987 hingga 1992) hingga sekarang dengan setiap fasa diselitkan cerita lalu.

Bahkan dalam temu bual sebelum ini, Awie yang sudah empat dekat berkecimpung di arena muzik bermula dengan Wings sekitar 1985 turut menyatakan Konsert Awie Journey juga merupakan konsert solo terakhirnya.

Begitupun, Awie mengakui tidak akan menolak jika ditawarkan mengadakan persembahan mega solo berkonsepkan lagu asli pada masa akan datang.

Terdahulu, pada 27 Julai lalu, ikon rock terbabit menjayakan Konsert Solitario Journey: The Final Encore di Singapura yang turut meraih sambutan hangat.

Hadir sama memberikan sokongan terhadapnya ialah anggota Wings lain serta penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI