KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjelmakan kilauan pingat pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024 selepas meraih pingat gangsa menewaskan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Pada aksi penentuan pingat gangsa yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris sebentar tadi, bekas juara dunia itu melakar kebangkitan menerusi kemenangan tiga set 16-21, 22-20, 21-19 dalam tempoh 74 minit.
Lebih manis, kemenangan diraih memastikan beregu No.3 dunia itu mengulangi pencapaian tiga tahun lalu pada Olimpik Tokyo 2020 di mana mereka menewaskan legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Pada perlawanan sebentar tadi, Astrup-Rasmussen bermula dengan baik di set pertama apabila menguasai sepenuhnya permainan sehingga memaksa Aaron-Wooi Yik lebih banyak bertahan di gelanggang sendiri dan mendahului 12-10.
Bagaimanapun, beregu negara kembali memperkemaskan permainan, namun masih buntu mencari jalan untuk mendahului perlawanan sebelum pasukan lawan menamatkan aksi set pertama menerusi kemenangan 21-16.
Bersambung set kedua, aksi bertambah sengit apabila kedua-dua beregu saling berbalas serangan sehinggalah Denmark berada di ambang kemenangan ketika berada di mata akhir pada kedudukan 20-14.
Hasrat Astrup-Rasmussen untuk meraih pingat gangsa dihalang Aaron-Wooi Yik yang berjaya mempamerkan kebangkitan apabila menyamakan kedudukan 20-20, sebelum menang 22-20 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
memasuki set ketiga, anak-anak buah Tan Bin Shen yang berbekal keyakinan baharu menampilkan aksi lebih kemas dan berjaya memaksa beregu Denmark melakukan kesilapan-kesilapan mudah sehingga mendahului 8-5.
Melepasi angka ke-11, naib juara All England itu tidak menoleh ke belakang lagi dengan mengutip mata demi mata dan berada di depan 17-13, namun kedudukan tersebut tiba-tiba berubah apabila Denmark kembali mendahului 18-17.
Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik tidak mudah panik apabila mereka berjaya mengekalkan fokus sebelum memastikan pingat gangsa menjadi milik mereka menerusi kemenangan muktamad 21-19 di set penentuan. – KOSMO! ONLINE