BEIJING – Angka kematian insiden jambatan runtuh yang disebabkan hujan lebat di utara China meningkat kepada 38 orang, manakala 24 lagi masih hilang, lapor saluran berita South Morning China Post (SCMP) semalam.
Jambatan melintasi sungai di Shangluo, wilayah Shaanxi sebahagiannya runtuh pada 19 Julai lalu disebabkan hujan lebat dan banjir kilat yang berlaku secara tiba-tiba, kata agensi berita Xinhua.
Rakaman kamera sistem televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan sebahagian jambatan itu tenggelam dan digenangi air sungai.
Beberapa kenderaan termasuk kereta dan lori turut terhumban ke dalam sungai.
“Pihak berkuasa mengesan 25 kenderaan dihanyutkan arus sungai apabila jambatan itu runtuh,” lapor badan penyiar rasmi, CCTV.
“Hujan lebat yang melanda di tengah China pada minggu ini juga meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa,” kata media pemerintah pada Khamis lalu. – AGENSI