KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia meneruskan kemaraan ke separuh akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024 selepas berhempas pulas menewaskan pilihan keempat dari Denmark, Anders Antonsen.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, Paris sebentar tadi, bekas juara Asia dan All England itu memerlukan masa 53 minit bagi mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-15.
Keputusan itu turut menyaksikan Zii Jia mencatat kemenangan keempat ke atas Antonsen dalam sembilan perlawanan dengan pertemuan terakhir di Malaysia Masters Mei lalu turut memihak kepadanya.
Biarpun berdepan pemain No.3 dunia, namun Zii Jia yang menghuni ranking ketujuh menampilkan aksi cukup baik seawal set pertama sehingga berjaya menjarakkan kedudukan dengan perbezaan mata agak besar 9-5.
Bagaimanapun, Antonsen yang banyak melakukan kesilapan-kesilapan mudah cuba melakar kebangkitan dan berjaya menyamakan kedudukan 13-13, namun belum cukup untuk menghalang Zii Jia daripada mencatat kemenangan pertama 21-17.
Memasuki set kedua, Zii Jia mengambil kesempatan atas aksi tidak menentu yang ditampilkan Antonsen untuk mendahului permainan dengan perbezaan mata cukup besar 14-6, sekali gus meletakkannya dalam keadaan cukup selesa.
Tersentak dengan kedudukan tersebut, Antonsen kemudiannya memperkemaskan permainan dan berjaya merapatkan jurang mata 15-18, namun Zii Jia kekal fokus sebelum menamatkan aksi set kedua itu dengan 21-15.
Menanti pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu di separuh akhir nanti adalah juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang mengejutkan pemain No.1 dunia dari China, Shi Yuqi menerusi kemenangan mudah 21-12, 21-10. – KOSMO! ONLINE