KLUANG – Seorang wanita warga emas maut dipercayai dipijak gajah dalam kejadian di jalan ke kebun getah Felcra Batu 29 di Kampung Sri Lukut, Kahang di Kluang pagi tadi.
Ketua Kampung Sri Lukut, Yusuf Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi itu melibatkan Misirah Saniman, 75, yang hidup sebatang kara di sebuah rumah berhampiran kebun getah itu.
Katanya, wanita itu diserang sekumpulan kira-kira 10 ekor gajah yang dipercayai mula memasuki kawasan kebun getah berkenaan tengah malam semalam.
“Mangsa dipercayai diserang ketika sedang menoreh getah tidak jauh dari rumahnya dan akibat daripada kejadian itu mangsa ditemui maut di lokasi.
“Mayat mangsa kini ditempatkan di Klinik Kesihatan Kahang sebelum urusan pengkebumian dilakukan,” katanya ketika ditemui di Kampung Sri Lukut hari ini.
Menurut Yusuf lagi, satu laporan kejadian sudah dimaklumkan di Balai Polis Kahang serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.
Ujarnya, sejak akhir-akhir ini, kemasukan kumpulan gajah ke kawasan Felcra Batu 29 serta Kampung Sri Lukut sering berlaku dan ia amat membimbangkan terutama keselamatan penduduk.
“Mayat mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Lukut pada petang ini sebaik semua urusan berkaitan selesai,” katanya. – KOSMO! ONLINE