NEW DELHI – Seorang pesohor media sosial mengundang perhatian orang ramai selepas bersiar-siar di kawasan Mumbai dengan hanya memakai tuala, lapor saluran berita Livemint.com semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @thankgod_itsfashion, wanita itu berjalan sambil ‘berkemban’ dengan sehelai tuala di hadapan orang ramai.
Lebih mengejutkan apabila dia menutupi rambutnya dengan tuala, seolah-olah kelihatan baru lepas mandi.
Dia kemudian membuka tuala tersebut dan mendedahkan pakaian cantik berwarna kuning di bawah balutan itu.
Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan meriah lebih 1.1 juta tontonan. Rata-rata, netizen mengecam tindakan wanita itu.
Bagaimanapun, dia menjelaskan bahawa video itu adalah tugas yang diberikan semasa menyertai sebuah rancangan televisyen pada 2019.
“Bagus tetapi jangan cuba lain kali,” kata seorang netizen. – AGENSI