PETALING JAYA – “Walaupun dia (mak) tahu saya ada, dia tinggalkan saya macam tu sahaja, dia tak kisah pasal saya,”. Demikianlah luahan seorang murid lelaki yang sangat merindui ibunya.
Video yang dikongsikan di TikTok @zack zawani mencetuskan suasana air mata sepanjang luahan kanak-kanak lelaki tersebut dalam satu sesi motivasi bersama murid sekolah lain.
Menurut murid itu, bapanya telah meninggal dunia dan ibunya pula mengabaikannya selepas berkahwin dengan suami baharu.
“Mak saya pergi sambung belajar lepas itu dia tak nak ambil saya, dia kahwin lain.
“Dia tinggalkan saya di rumah mak saudara, saya duduk kat situ selama 11 tahun.
“Saya tak tahu bila dia nak ambil saya walaupun dia tahu saya ada,” luah pelajar itu dengan juraian air mata.
Tangisan murid itu cuba diredakan dengan pelukan daripada jurulatih motivasi dan individu-individu lain dengan memberikan kata-kata semangat.
“Walau apa pun terjadi, awak kena jadi anak yang baik dan soleh. Mak awak dia tinggalkan awak mungkin ada sebab yang awak tak tahu. Nanti bila dah besar awak akan faham,” kata jurulatih itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai yang tersentuh hati dan meluahkan rasa sedih dengan kisah hidup kanak-kanak itu.- KOSMO! ONLINE