HONG KONG – Universiti Hal Ehwal Awam China di Beijng menawarkan ijazah perkahwinan bagi membangunkan industri dan budaya berkaitan rumah tangga, lapor portal berita Deccan Herald semalam.
Menerusi program ijazah yang akan bermula pada bulan depan, universiti tersebut menyasarkan untuk memupuk pembangunan dalam industri dan budaya berkaitan perkahwinan.
Ia dikenali sebagai program Perkhidmatan dan Pengurusan Perkahwinan peringkat ijazah yang akan menumpukan kepada pembangunan industri perkahwinan.
Menurut portal berita Global Times, tujuan program tersebut ditawarkan adalah untuk membentuk budaya keluarga yang positif kepada para pelajar.
Ia juga bertujuan untuk mengadakan pembaharuan dalam amalan perkahwinan di China.
Universiti itu akan mendaftarkan 70 mahasiswa dari 12 wilayah pada tahun ini dalam program ijazah itu yang melibatkan kursus kaunseling keluarga, perancangan perkahwinan mewah dan pembangunan produk mencari jodoh.
Namun, netizen di platform Weibo menyindir program yang ditawarkan itu.
“Sudah tiba masanya untuk memulakan agensi perkahwinan milik kerajaan,” tulis seorang netizen. – AGENSI