SEPANG – Seorang mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar mengalami pengalaman perit apabila dijual oleh pelbagai sindiket secara berkali-kali di negara berkenaan.
Tan (bukan nama sebenar) berusia awal 30-an dan berasal dari Kajang, Selangor itu malah menderita didera oleh sindiket jenayah tersebut sepanjang terperangkap di Myanmar.
Bercerita mengenai pengalamannya dijual oleh rakan sendiri, Tan mengakui tidak sedar apabila ditipu oleh rakan baiknya yang memujuknya dengan konon menawarkan pekerjaan dengan gaji besar di Thailand.
“Rupanya secara rahsia dia mahu jual saya kepada sindiket sejurus sampai di Bangkok dan dibawa menaiki kereta ke Maesot sebelum diseludup memasuki Myanmar,” katanya.
“Ketika di sana, semua ahli geng kumpulan bersenjatakan pistol dan saya turut gagal berhubung dengan dunia luar kerana bukan mudah hendak meminta bantuan,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini malam tadi.
Bercerita lanjut sepanjang setahun di sana, beliau dikerah bertugas sebagai ejen panggilan penipuan dengan sasaran mereka adalah pelanggan di Malaysia serta negara serantau.
Malangnya, beliau banyak kali dipukul teruk bahkan dijual kepada beberapa geng pemerdagangan lain ekoran gagal mencapai sasaran prestasi jualan tinggi yang ditetapkan.
Nasib walau bagaimanapun menyebelahi dirinya apabila beliau digadai kepada sindiket di Segi Tiga Emas Laos selepas dibawanya masuk secara haram dari Tachileik, Myanmar.
“Dari situ, saya dapat menghubungi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Anatarabangsa Malaysia (MHO) yang bertindak pantas melarikan saya dengan sebuah kereta sebelum menaiki bot menyeberangi sempadan ke Thailand,” kata Tan. – KOSMO! ONLINE