GUA MUSANG – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) selepas tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi tadi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud mengesahkan perkara itu dalam satu pengumuman di pusat penamaan calon di pekarangan Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini hari ini.
Menurutnya, calon yang bertanding secara rasmi dalam PRK itu ialah calon PN, Mohd. Rizwadi Ismail dan Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili BN.
Terdahulu, Nik Raisnan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima dua borang selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi.
“Mohd. Rizwadi menghantar kertas penamaan calon pada pukul 9.02 pagi manakala Mohd. Azmawi Fikri kira-kira pukul 9.08 pagi. Selepas membuat semakan, saya berpuas hati dan tiada kertas penamaan calon ditolak,” katanya.
Sebelum ini, SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE