fbpx

PRK DUN Nenggiri: BN fokus isu masyarakat setempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (dua dari kiri) bersama Mohd. Azmawi Fikri (tengah) selepas proses penamaan calon PRK DUN Nenggiri di pekarangan Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di Gua Musang hari ini. Foto oleh AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

GUA MUSANG – Barisan Nasional (BN) akan memberi fokus kepada isu masyarakat setempat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera BN akan menjelajah kesemua 20 pusat daerah mengundi (PDM) untuk berjumpa pengundi dan masyarakat setempat.

Katanya, gerak kerja itu akan dilakukan dengan bantuan jentera Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.

“Kita akan menjelaskan sesuatu isu lebih ‘membumi’ kepada rakyat mengenai isu yang kita tangani dan selesaikan.

“Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik untuk pengundi Orang Asli, kampung tradisional, peneroka Kesedar dan Felda,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK DUN Nenggiri di pekarangan Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini hari ini.

Ahmad Zahid memberitahu, calon BN bagi PRK DUN Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri atau mesra dengan panggilan Awie juga mewakili semua pengundi termasuk suara generasi muda di kawasan itu.

Katanya, pengundi DUN Nenggiri merupakan pengundi yang cukup matang dan telah melalui Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan PRK dalam penggal ini.

“Kita akan bekerja dahulu dan tawakal kepada Allah SWT untuk mencapai kemenangan.

“Bagi pengundi Nenggiri, saya harap beri peluang kepada Awie kerana beliau boleh mewakili kumpulan generasi muda di DUN Nenggiri kerana kita tahu ramai dalam kalangan pengundi berusia bawah 40 tahun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI