LONDON – Sebuah balai polis dibakar pada waktu malam di Sunderland selepas penunjuk perasaan merusuh dan membakar kereta serta menyerang anggota polis susulan insiden serangan pisau di Southport, lapor portal berita The Sun semalam.
Lapan orang telah ditangkap dan tiga anggota polis dihantar ke hospital selepas berlakunya insiden keganasan yang menakutkan di pusat bandar Sunderland.
Balai Polis Pusat Sunderland dibakar oleh kumpulan perusuh ketika kegelapan melanda bandar itu.
Sebelum ini, tiga kanak-kanak perempuan maut dalam kejadian amuk di kelas tarian yang bertemakan penyanyi terkenal, Taylor Swift di Southport pada Isnin lalu.
Seorang remaja berusia 17 tahun telah ditangkap dan didakwa melakukan pembunuhan itu oleh Mahkamah Mahkota Liverpool.
Rusuhan ganas serupa berlaku di Hartlepool dan London pada Rabu lalu, manakala lebih 100 ditangkap di Whitehall.
Semasa kejadian amuk semalam, kumpulan perusuh menggeledah sebuah balai polis ketika anggota-anggota bomba berusaha untuk mengawal kebakaran.
Dalam adegan menakutkan yang lain di Sunderland, kumpulan perusuh menyerang sebuah teksi Uber dengan pemandunya masih berada di dalam, menyebabkan dia melarikan diri sebelum mereka membakar kenderaannya.
Kumpulan perusuh bertopeng menggunakan kesempatan huru-hara itu sebagai peluang untuk merompak kedai dengan memecahkan tingkap untuk mencuri pelbagai barangan.
Pengarah Pendakwaan Awam, Stephen Parkinson berkata, anggota-anggota polis bekerja keras untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. – AGENSI