KUANTAN – Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) berjaya membawa kira-kira 13 daripada 1,295 syarikat francais tempatan melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa setakat ini.
Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, pihaknya terus menggiatkan usaha membawa syarikat francais tempatan ke peringkat antarabangsa termasuk telah mengenal pasti 10 syarikat berpotensi pada tahun ini.
“Ada satu syarikat iaitu Sate Zul yang sudah menembusi pasaran luar negara iaitu Brunei dan Singapura, visi Pernas bukan hanya menjayakan jaguh kampung sahaja tetapi menaikkan mereka ini ke peringkat antarabangsa.
“Pada tahun ini ada 10 syarikat dikenalpasti (ke peringkat antarabangsa) dan kita juga memang mengalu-alukan syarikat di Pahang sebab cara orang Pahang bersemangat berniaga,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Program BizFrancais Pahang 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri, Datuk Amizar Abu Adam.
Menurut Hazimah antara francais tempatan yang berjaya ke peringkat antarabangsa termasuk Marry Brown, Cool Blog, Tea Live, Global Art, Moktis dan LaundryBar yang menunjukan prestasi yang baik.
“LaundryBar ada 240 outlet di Thailand, saya bangga dengan pasangan ini, bukan sahaja bisnes LaundryBar mereka juga import pencuci buatan Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pada tahun ini Pernas menyasarkan pembiayaan sebanyak RM4 juta bagi memperkukuh industri francais di tiga negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Katanya, pada masa ini sebanyak RM1.5 juta telah diluluskan kepada lapan usahawan di negeri Pahang sahaja untuk mereka mengembangkan perniagaan.
“Bagi siri jelajah BizFrancais, Pernas menyasarkan RM50 juta bagi keseluruhan siri program pada tahun ini dan pada tahun lalu sebanyak RM25.23 juta telah berjaya disalurkan kepada para usahawan melalui program BizFrancais,” katanya.
Sementara itu Amizar berkata, kerajaan negeri akan terus menjalinkan kerjasama dengan Pernas dalam merangka pelbagai program bagi membantu usahawan di negeri ini terus berdaya saing sehingga ke peringkat antarabangsa.
Katanya, kerajaan negeri juga berharap program BizFrancais akan dilaksanakan berterusan dan diperhebatkan lagi dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE