JOHOR BAHRU – Seorang pengasuh wanita yang dipercayai mendera bayi dua bulan sehingga patah paha kiri, bulan lalu dilepaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek itu dibebaskan pada Rabu lalu sebaik tempoh tahanan reman terhadapnya yang selama sembilan hari berakhir.
Beliau berkata, tindakan itu diambil terhadap suspek berusia 36 tahun itu sementara pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan bagi kes dalam tempoh terdekat sebelum diserahkan kepada pejabat pendakwa raya.
“Kertas siasatan masih ada pada (di peringkat) pegawai penyiasat untuk melengkapkan siasatan. Suspek dibebaskan dengan jamin pada Rabu lalu, sementara menyiapkan siasatan,” katanya ketika pemberita hari ini.
Terdahulu, wanita itu ditahan reman selama enam hari apabila ditahan polis pada 22 Julai lalu, sehari selepas polis menerima laporan dibuat ibu bapa bayi berkenaan.
Sebelum ini, ibu bayi berkenaan meluahkan kekecewaannya di media sosial selepas dia dan suami menyedari ada yang tidak kena pada anaknya selepas diambil daripada rumah pengasuh di Bandar Dato’ Onn, di sini. – KOSMO! ONLINE