SHAH ALAM – Tindakan segelintir pemandu lori memasang plastik hitam di cermin hadapan bagi mengelak panas memakan diri apabila ditahan dalam operasi sekatan jalan raya sekitar Salak Tinggi, Sepang dekat sini baru-baru ini.
Dalam operasi bermula Isnin hingga Rabu lalu itu didapati sebanyak 82 lori dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.
Pengarah JPJ negeri, Azrin Borhan berkata, operasi tersebut bagi mengesan kenderaan perdagangan lebih muatan dengan memeriksa sebanyak 494 lori kesemuanya.
Katanya, operasi melibatkan Jalan Bandar Baru Salak Tinggi, Jalan Stadium Mini Majlis Perbandaran Sepang, sekitar Taman Mawar dan Jalan Salak Tinggi-Sepang.
“Antara kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu dan kenderaan barangan (GDL) serta lesen kenderaan motor tamat tempoh selain teknikal.
“Hasil operasi turut mengesan ada lori-lori yang memasang aksesori termasuk plastik lekat hitam di cermin hadapan bagi mengelakkan panas sehingga menganggu pandangan,” katanya hari ini.
Beliau menambah, alasan turut digunakan bagi penggunaan plastik tersebut adalah bagi mencantikkan jentera berat mereka.
Azrin menegaskan, rata-rata pemandu yang ditahan terdiri daripada mereka berusia 25 hingga 60 tahun.
“Sebanyak 125 notis telah dikeluarkan melibatkan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya.
“Kita akan terus menjalankan pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan semua jenis kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya. -KOSMO! ONLINE