fbpx

Olimpik Paris: Trek ungu jadi harapan Azeem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM mampu menggunakan kelebihan trek di Stade de France dalam usaha memburu catatan masa yang lebih baik terutama memecahkan rekod kebangsaan. - FB OCM

PELUANG pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk memecahkan rekod 100 meter (m) kebangsaan miliknya dengan catatan 10.09 saat (s) diramal cerah apabila turun menghadapi pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Stade de France petang ini.

Ia berdasarkan situasi trek ungu di venue berkenaan dilaporkan mampu membuatkan atlet mampu berlari dua peratus lebih pantas jika dibandingkan dengan balapan digunakan sewaktu edisi Olimpik Tokyo 2020 di Jepun tiga tahun lalu.

Ahli kimia polimer dari Luxembourg, Joao Bomfim yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Penyelidik dan Pembangunan Mondo iaitu syarikat pembinaan trek berkenaan percaya deretan rekod baharu akan dipecahkan pada edisi Olimpik Paris kali ini.

Situasi itu bakal menguntungkan Azeem, 20, yang kini dalam sasaran memburu catatan bawah 10s sekali gus memecahkan rekod kebangsaan dan menjadi pelari pertama Asia Tenggara merakam masa menakjubkan itu.

Di peringkat saringan hari ini, bintang Thailand, Puripol Boonson yang mempunyai rekod peribadi 10.08s dan bekas raja pecut remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri dengan catatan terbaik 10.03s juga akan turun menunjukkan kemampuan mereka.

Sementara itu, bapa Azeem, Fahmi Tajuid meletakkan sepenuh harapan untuk melihat kejayaan bersejarah mampu dilakar anaknya yang sudah memasang impian tinggi sejak kecil untuk menjadi antara pelari terbaik dunia beraksi di pentas Olimpik.

“Azeem bercita-cita tinggi sejak di bangku sekolah lagi terutamanya ke Sukan Olimpik dan memecah rekod 100m sebelum usia 20 tahun. Walaupun banyak cabaran dihadapi, dia terus berusaha dan menunjukkan kemajuan yang mengagumkan.

“Walaupun Azeem mahu melayakkan diri ke Paris secara merit tetapi tiket wildcard juga bukan mudah. Kini dua impiannya telah tercapai dan saya harap dia tidak tertekan, sebaliknya menikmati saat-saat gembira ini untuk terus berlari di sana.

“Jika dia dalam perasaan gembira, dia akan buat larian terbaik. Mari kita sama-sama doakan kejayaan Azeem dan juga seluruh atlet negara yang sedang berjuang di Sukan Olimpik Paris,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI