fbpx

Olimpik Paris: Perjalanan Azeem berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM ketika menyertai acara 100 meter di Sukan Olimpik Paris 2024 sebentar tadi. -Foto: Majlis Olimpik Malaysia

KUALA LUMPUR – Perjuangan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dalam acara 100 meter (m) di Sukan Olimpik Paris 2024 terhenti di pusingan pertama selepas menamatkan larian di kedudukan terakhir saringan dua di stadium ikonik, Stade de France, sebentar tadi.

Pelari berusia 20 tahun itu yang membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024 terpaksa akur dengan kehebatan pelari-pelari terbaik dunia apabila hanya mampu menamatkan lariannya dengan catatan masa 10.45 saat (s) sekali gus gagal melangkah ke pentas suku akhir.

Azeem yang memulakan larian di lorong kelapan tidak bermula baik apabila seakan-akan sedikit tergelincir mengakibatkan lariannya terganggu sekali gus dipintas pelari lain yang menyaksikan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham, Ferdinand Omanyala dari Kenya menamatkan aksi itu di tempat pertama dengan catatan 10.08s.

Pelari Itali, Chituru Ali menamatkan saingan di kedudukan kedua terpantas dengan catatan masa 10.21s dan diikuti pelari Jerman, Joshua Hartmann di tempat ketiga (10.16s) untuk layak ke peringkat suku akhir.

AZEEM ketika menyertai acara 100 meter di Sukan Olimpik Paris 2024 sebentar tadi. -Foto: Majlis Olimpik Malaysia

Sudah pasti, catatan 10.45 yang dicatat Azeem bukan keputusan yang terbaik buatnya kerana dia meletakkan sasaran untuk memperbaiki catatan musim terbaik 10.36s yang dilakukan di Kejohanan Olahraga SEC 2024 di Gainesville, Florida Mei lalu.

Terdahulu, Azeem tidak berdepan masalah untuk layak ke pusingan pertama selepas mencatat masa kedua terpantas dalam saringan pertama dengan catatan masa 10.42 saat (s).

Sebagai rekod, Azeem yang juga merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2023 itu layak ke Olimpik Paris menerusi tiket wildcard sekali gus menamatkan penantian selama 24 tahun untuk melihat kelibat pelari pecut Malaysia dalam acara 100m lelaki sejak kali terakhir dilakukan legenda Sarawak, Watson Nyambek pada edisi Sydney 2000. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI