PARIS – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mempertahankan keputusannya membenarkan dua petinju wanita bertanding di Sukan Olimpik Paris 202 4 walaupun terdapat kontroversi pertikaian jantina kelmarin.
Kelmarin, atlet petinju wanita Itali, Angela Carini mendakwa bahawa dia menamatkan pertarungan di Sukan Olimpik berdepan lawan yang ‘memiliki biologi lelaki’.
Pertembungan antara peninju berusia 25 tahun itu dan lawan dari Algeria, Imane Khelif hanya berlangsung 46 saat (s) selepas terkena tumbukan bertubi-tubi dan menyifatkan perlawanan tersebut tidak adil.
Aksi perlawanan antara Carini dan Imane yang mula tular di seluruh dunia mula memberi tekanan kepada IOC kerana mereka telah memberi kebenaran untuk mengambil bahagian di Paris.
Selain Carini, IOC juga membenarkan atlet tinju Taiwan, Lin Yu-ting yang didakwa memiliki ‘kelebihan’ sama turut dibenarkan untuk bertanding di Sukan Olimpik.
Sebelum ini, penyertaan kedua-dua atlet dari Algeria dan Taiwan tersebut telah dibatalkan pada Kejohanan Dunia 2023 selepas gagal melepasi peraturan kelayakan Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) yang menghalang atlet dengan kromosom XY lelaki bersaing dalam acara wanita.
Tetapi, IBA telah dilucutkan pengiktirafannya oleh IOC tahun lepas berhubung isu tadbir urus dan kewangan sekali gus menyaksikan badan Olimpik itu mengendalikan pemilihan dan pertandingan tinju di Paris.
“Kedua-dua atlet ini adalah mangsa keputusan mendadak dan sewenang-wenang oleh IBA. Pada penghujung Kejohanan Dunia IBA pada 2023, mereka tiba-tiba hilang kelayakan tanpa sebarang proses yang sewajarnya.
“Menurut laporan IBA yang tersedia di laman web mereka, keputusan pembatalan penyertaan dua atlet berkenaan dibuat oleh Setiausaha Agung dan Ketua Pegawai Eksekutif IBA,” kata IOC. – AGENSI