JAKARTA – Pihak Berkuasa Bandar Raya Nusantara (OIKN) menguji prototaip teksi terbang di Lapangan Terbang Aji Pangeran Tumenggung di Samarinda, wilayah Kalimantan Timur, lapor portal berita VnExpress semalam.
Timbalan Ketua Bidang Transformasi Hijau dan Digital OIKN, Mohamed Ali Berawi berkata, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) itu terbang kira-kira 10 minit pada ketinggian 50 meter dengan kelajuan 50 kilometer sejam.
Menurutnya, ujian penerbangan itu bagi merealisasikan pengangkutan udara bandar yang cekap lagi mesra alam di Indonesia.
“Ini bukti komitmen Indonesia untuk membangunkan teknologi pengangkutan masa hadapan,” katanya.
Kata Mohammed Ali lagi, ibu negara baharu itu bukan sahaja menumpukan kepada perolehan teknologi UAV tetapi juga berusaha untuk membangunkan dan menguasainya.
Indonesia mahu mewujudkan ekosistem inovasi terbuka di mana pelbagai pihak boleh bekerjasama untuk membangunkan teknologi teksi terbang, ujarnya.
Bagi mencapai visi tersebut, OIKN telah bekerjasama dengan pelbagai rakan strategik sama ada domestik mahupun antarabangsa, termasuk Syarikat Hyundai Motor untuk membangunkan prototaip teksi terbang.
OIKN menjangkakan percubaan teksi terbang boleh mencetuskan perkembangan industri penerbangan awam di Indonesia.
Ia menjangkakan teksi terbang akan dapat beroperasi secara komersial dalam tempoh lima tahun akan datang. – AGENSI