PARIS – Usia hanyalah angka untuk ‘nenek ping-pong’ atau nama sebenarnya, Ni Xialian yang mewakili Luxembourg di Sukan Olimpik Paris ketika dia sudah berusia 61 tahun, lapor akhbar South China Morning Post kelmarin.
Xialian memenangi hati penonton dengan kegembiraan dan semangat kesukanan yang dipamerkan walaupun tewas kepada pilihan utama, Sun Yingsha pada Rabu lalu.
Wanita itu yang merupakan salah seorang atlet tertua di Olimpik Paris menerima tepukan gemuruh sambil berdiri oleh penonton.
Dia melambai kepada orang ramai bersama linangan air mata selepas perlawanan selesai. Xialian memberitahu pemberita bahawa bertarung menentang Yingsha yang berusia 32 tahun sudah lama menjadi impiannya.
Xialian akan menumbuk ke udara sambil mempamerkan senyuman setiap kali dia mendapat mata dan akan menjerit ‘aiyah’ apabila terlepas bola.
“Saya menghormati Makcik Ni, dia minum cola semasa perlawanan dan menikmati permainan!” tulis seorang pengguna laman sosial Weibo.
Xialian berhijrah ke Luxembourg pada penghujung 1980-an selepas memenangi dua pingat emas kejohanan dunia untuk China. Olimpik Paris merupakan kali keenam dia mewakili negara baharunya. – AGENSI