KUALA LUMPUR – Lelaki mat salih sanggup berpatah balik dan mengganggu tugas polis kerana tidak berpuas hati melihat teman wanita warga Nigeria yang disyaki melakukan kesalahan imigresen ditahan sekitar Jalan Bukit Jalan Changkat, Bukit Bintang di sini, awal pagi tadi.
Sebelumnya, lelaki berusia sekitar 40-an itu meminta pencerahan pegawai sebelum beredar namun, berpatah balik ke arah pasukan operasi hingga menyebabkan keadaan sedikit tegang.
Ekoran kejadian itu, pasangan berkenaan kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Itu adalah salah satu keadaan kecoh yang berlaku ketika Op Pintas Wakanda yang dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ke atas tiga pusat hiburan di Jalan Changkat yang bermula kira-kira pukul 1.30 pagi.
Difahamkan, satu serbuan turut dijalankan di sebuah premis di Sri Hartamas, di sini.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) Kementerian Dalam Negeri.
Katanya, operasi ini berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Nigeria berusia 28 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks.
“Seterusnya, seramai 39 warga dari benua Afrika serta dua Pakistan berusia lingkungan 25 hingga 56 tahun untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua tangkapan termasuk 11 wanita itu membabitkan warga Tanzania, Nigeria, Uganda, Sierra Leone serta Pakistan.
“Tiga warga Nigeria termasuk seorang wanita disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, mangsa dan tangkapan kes ATIPSOM dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields manakala yang lain telah dibawa ke IPD Dang Wangi untuk proses kenal pasti mangsa dan tindakan. -KOSMO! ONLINE.