PETALING JAYA – Pernah didakwa bercinta dengan Naim Daniel, penyanyi Sissy Imann menganggap gosip yang kini kembali bertebaran hanya spekulasi liar dicetuskan segelintir individu akibat salah sangka melihat kemesraan mereka.
Ujar Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil, 28, keakraban dengan rakan seindustri merangkap saudaranya itu sudah terjalin lama membuatkan mereka tampak serasi dan intim.
“Kami dah bertahun-tahun rapat dan semakin akrab selepas kerap bekerjasama dalam pelbagai projek termasuk program realiti Famili Duo
tahun lalu.
“Lucu juga sebab desas-desus ini kembali timbul sebab saya cuma boleh jelaskan kami tiada apa-apa hubungan melainkan saudara dan teman seperjuangan.
“Mungkin sebab saya dan Naim kerap dilihat bersama membuatkan ada yang salah faham. Tapi tak mengapalah, ini asam garam dunia
hiburan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran BeCalm Cookies, baru-baru ini.
Diusik tampil romantis bersama Naim membawa lagu berjudul Titik Mula ketika Sissy Imann The Showcase pada 28 Julai lalu, katanya situasi tersebut hanyalah sebuah penjiwaan persembahan.
Bahkan Sissy turut mengakui orang ramai akan melihat mereka berdua dengan lebih kerap berikutan pembikinan album mini yang kini dalam fasa akhir untuk disempurnakan.
“Album mini itu nanti memuatkan enam lagu dan Titik Mula mungkin dilancarkan sebagai single pertama kami,” ujarnya.
Terdahulu, spekulasi hubungan cinta pasangan terbabit hangat diperkatakan apabila Naim atau Muhammad Naim Daniel Baharin, 26, mengakui hatinya ditambat seorang teman seperjuangan dalam industri hiburan.
Biarpun penyanyi Sumpah itu tidak mendedahkan identiti wanita misteri terbabit, netizen membuat andaian individu dimaksudkan adalah Sissy.
Selain kerap dilihat keluar bersama-sama, menguatkan lagi spekulasi apabila mereka pernah bercuti di Bangkok, Thailand, bersama rakan artis. – KOSMO! ONLINE