PARIS – Seorang pemain badminton China yang berjaya merangkul pingat emas bagi acara beregu campuran pada Sukan Olimpik Paris 2024 terkejut apabila dia dilamar kekasihnya sejurus meraikan kemenangan semalam.
Saluran berita Today.com melaporkan, Huang Yaqiong bersama gandingannya, Zheng Siwei meraih pingat emas pada 2 Ogos selepas menewaskan pasukan dari Korea Selatan.
Bagaimanapun, kemenangan Huang dikejutkan lagi dengan kemunculan teman lelakinya, Liu Yuchen, yang juga ahli pasukan badminton dari China.
Gambar yang merakamkan detik istimewa pasangan itu, menunjukkan Liu mengeluarkan cincin dan melutut di hadapan Huang.
Huang menerima lamaran kekasihnya sambil menangis dan berkata ia adalah sangat mengejutkan.
Dia juga tidak tahu Liu merancang untuk melamarnya di Paris.
“Bagi saya, lamaran itu sangat mengejutkan kerana saya telah membuat persediaan untuk perlawanan itu.
“Hari ini (semalam) saya adalah juara Olimpik dan saya dilamar, jadi itu sesuatu yang saya tidak jangkakan,” kata Huang.
Laman web rasmi Olimpik berkongsi gambar lamaran pasangan itu sambil menyatakan pasangan itu bukan satu-satunya atlet yang bertunang di temasya Olimpik Paris. – AGENSI