PETALING JAYA – Teruja bakal bergelar ibu dan menyambut kehadiran zuriat sulung, pelakon Datin Intan Najuwa merancang terbang ke London pada September ini bagi membeli barangan keperluan bayinya.
Sebelum berangkat, Intan atau nama lengkapnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 27, sudah mendapatkan idea dalam aplikasi Pinterest berkaitan barangan yang diperlukan permata hati pertamanya itu.
“Saya akan London pada bulan hadapan untuk membeli keperluan bayi. Tak sabar berkongsi pilihan saya dengan kalian (peminat) semua.
“Ini merupakan kali pertama saya betul-betul mahu membeli barangan bayi dan mencari inspirasi daripada Pinterest.
“Banyak idea yang boleh dijadikan rujukan,” katanya menerusi Instagram.
Sebelum ke ibu negara Britain itu, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu akan singgah berbelanja terlebih dahulu di Sepanyol .
“Saya menyediakan keperluan bayi sedikit demi sedikit kerana saya akan berbelanja di London tidak lama lagi.
“Malah, minggu hadapan saya juga akan ke Sepanyol untuk membeli-belah barangan bayi,” kongsinya.
Sebelum ini, Intan berkongsi khabar gembira hamil anak pertama selepas hampir setahun mendirikan perkahwinan dengan ahli perniagaan, Datuk Ahmad Asraf Azman pada Ogos tahun lalu. -KOSMO! ONLINE