PENNSYLVANIA – Pertahanan baharu Arsenal, Riccardo Calafiori tidak mengambil masa yang lama untuk memenangi hati rakan sepasukannya di Arsenal apabila menyerlahkan kemahuan untuk membina kombinasi lebih baik sebelum memulakan musim baharu pertengahan bulan ini.
Kapten Arsenal, Martin Odegaard juga memuji Calafiori yang disifatkan mampu memberikan kepelbagaian di benteng pertahanan untuk membantu pasukan raih keputusan lebih baik.
Calafiori terus sertai The Gunners pada aksi pramusim di Pennsylvania dan Odegaard merasakan rakannya itu memiliki kualiti tersendiri termasuk dalam aspek fizikal.
“Saya fikir semua orang dapat lihat dalam latihan yang dia adalah pemain terbaik dan dalam aspek fizikal, dia adalah seorang pertahanan yang bagus.
“Dia sudah pun berada di padang dan saya pasti dia akan memberikan sumbangan kepada pasukan. Kami gembira untuk memilikinya dan tidak sabar untuk melibat sumbangannya,” kata Odegaard.
Calafiori menjadi pemain kedua yang sertai The Gunners dengan nilai £42.1 juta (RM243.6 juta) dan dia adalah pemain kedua selepas Arsenal menoktahkan perpindahan tetap David Raya daripada Brentford.
Odegaard juga begitu gembira untuk melihat The Gunners dan persiapan lebih tertumpu dalam latihan berbanding menjurus kepada khabar angin tentang perpindahan baharu.
“Secara jujurnya saya tidak fokus tenang perkara itu, terpulanglah kepada kelab untuk menentukannya. Saya gembira dengan skuad yang kami ada sekarang,” jelasnya. – AGENSI