SEBERANG PERAI – Program Football for Schools (F4S) yang membabitkan 237 buah sekolah terpilih di seluruh negara menjadi salah satu platform bagi mengintegrasikan bola sepak ke dalam sistem pendidikan dan kurikulum nasional.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program terbabit melibatkan modul yang sangat penting dan bukan sahaja berkisar tentang pembangunan bola sepak, sebaliknya turut membangunkan karakter pelajar.
“Saya sendiri melihat para peserta berlatih dan setiap stesen (latihan) meletakkan beberapa ‘keyword’ penting dalam soal pembangunan diri anak-anak.
“Sebagai contoh pengurusan berkaitan dengan konflik, maknanya ketika bermain bukan sahaja soal jasmani tetapi juga emosi dan intelektual mereka juga mesti dibangunkan.
“Saya sangat percaya dan yakin bahawa dengan penglibatan FIFA yang lebih aktif dengan komitmen bersama dengan Kementerian Pendidikan, kita akan dapat menerima lebih banyak bakat untuk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program FIFA Football For School dan Kempen Bola Sepak Wanita FIFA di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai di sini, hari ini. Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram.
Program berkenaan diperkenalkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan kerjasama UNESCO dan di Malaysia ia melibatkan kerjasama antara FAM dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan disertai kira-kira 1,000 pelajar terpilih di negeri ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata program terbabit bukan sahaja memberikan tumpuan kepada bakat sukan tetapi juga memberi ruang untuk mengasah bakat anak-anak yang kurang berkemampuan. – KOSMO! ONLINE