fbpx

Bekas pesakit denggi ‘tak kebal’, boleh kena jangkitan lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seseorang yang pernah dijangkiti virus denggi berpotensi untuk mendapat jangkitan denggi untuk kali kedua, ketiga, mahupun keempat ekoran terdapat empat jenis virus denggi (serotypes).

Menurut Pensyarah Kanan, International Medical School, Management and Science University (MSU), Dr. Intan Azura Shah dan Prof. Madya Datuk Dr. Rose Nani Mudin, selepas jangkitan kali pertama, pesakit mungkin mempunyai antibodi untuk virus denggi jenis tersebut sahaja serta tidak mampu melawan virus denggi jenis yang lain.

Katanya, malah jangkitan denggi kali kedua mempunyai keberangkalian tinggi untuk mengakibatkan demam denggi berdarah.

“Pesakit demam denggi kebiasaannya akan mengalami penurunan suhu badan di antara hari keempat ehingga hari ketujuh demam.

“Namun, tempoh 48 jam selepas suhu badan menurun merupakan waktu kritikal yang perlu dipantau oleh penjaga pesakit serta pihak hospital.

“Oleh itu, keluarga pesakit serta pihak hospital perlu memantau keadaan pesakit denggi di dalam tempoh kritikal ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sehingga kini, tiada ubat untuk membunuh virus denggi di dalam badan (ubat antiviral), manakala rawatan yang diberikan adalah berbentuk rawatan sokongan seperti menambah cecair di dalam badan.

Berhubung keadaan ramalan cuaca minggu akan datang, MSU pada kenyataannya meminta orang awam berwaspada mengenai tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Untuk minggu yang akan datang, Jabatan Meterologi telah meramalkan hujan, ribut petir serta suhu panas, kesemuanya merupakan iklim yang optimum untuk pembiakan nyamuk
aedes.

“Kawasan berpotensi tinggi untuk pembiakan nyamuk ini seperti kawasan pembinaan, tempat pembuangan sampah dan kawasan perumahan di flat atau kondominium,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan itu, jentik-jentik nyamuk mampu hidup di dalam sekecil-kecil takungan air, seperti air yang terperangkap di dalam penutup botol plastik, botol kecil atau bekas sudu plastik.

“Cara paling mudah, murah dan berkesan untuk menghalang jangkitan denggi adalah dengan menghapuskan kawasan takungan air kecil yang menjadi pusat pembiakan jentik-jentik nyamuk aedes.

“Usaha ini perlu dilakukan oleh semua pihak, dan kesedaran dan amalan kebersihan dan pencegahan pembiakan nyamuk aedes ini perlu diterapkan di dalam setiap individu dan golongan masyarakat, bermula daripada pendidikan awal di tadika dan sekolah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI