GUA MUSANG – Seramai 480 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari 12 cawangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini mengisytiharkan keluar daripada parti tersebut dan menyertai UMNO hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ahli dan penyokong terbabit mengambil keputusan tersebut selepas mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu.
“Ini satu dasar yang harus diikuti oleh ahli (Bersatu) lain. Mereka juga merasakan kerjasama dengan Pas yang bukan hanya menunggang agama, tetapi menunggang rakan kongsi mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Bertemu Dengan Pengundi Jerek di Dewan Kampung Jerek, di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, semua calon BN terikat dengan akaun sumpah dan perjanjian untuk tidak meninggalkan parti dan Nuotis Tuntutan (Letter of Demand) telah dikeluarkan kepada ADUN Rumbia untuk membayar RM100 juta kepada Barisan Nasional (BN). – KOSMO! ONLINE