JAKARTA – Sepasang pengantin baharu di Indonesia mengundang perhatian orang ramai selepas memberikan buah tangan berupa pakej umrah kepada 13 tetamu terpilih yang menghadiri majlis perkahwinan mereka, lapor saluran berita Tribun semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @celtic_indonesia, majlis perkahwinan itu menampilkan dekorasi bunga berwarna-warni, buah-buahan dan sayuran segar.
Rakaman juga memaparkan pasangan itu memberikan buah tangan mewah kepada tetamu.
Selain mengundang beberapa penyanyi tempatan, majlis yang berlangsung di Kota Gresik, wilayah Jawa Timur itu terbuka kepada orang ramai.
Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan meraih lebih 3.4 juta tontonan. Rata-rata, netizen memuji sifat pemurah mereka.
“Definisi orang kaya yang tidak pelik,” kata netizen.
“Ini baru betul perkahwinan orang kaya dan bukan sombong. Semoga dimurahkan rezeki buat pasangan pengantin,” kata netizen lain. – AGENSI