KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 laporan polis babitkan kerugian RM30 juta dibuat mangsa pelaburan tidak wujud bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap pengarah serta pegawai pemasaran syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang.
Seorang mangsa yang ingin dikenali sebagai Muhammad, 55, berkata, syarikat tersebut menjanjikan pulangan hibah lumayan serta manfaat lain namun tidak membuat pembayaran sejak mengalami masalah pada tahun 2020.
Dia yang melabur sejak tahun 2017 memaklumkan mengalami kerugian hampir RM300,000 sejak berlakunya masalah tersebut.
“Dah hampir lima tahun (sejak 2020) tunggu masih tiada khabar berita terhadap dua individu bertanggungjawab. Mereka janji hibah dan modal dijanjikan akan dipulangkan tidak diberikan.
“Pelaburan ini dia buat dari mulut ke mulut dan tidak uar-uarkan di media sosial, kemungkinan takut dikesan pihak penguat kuasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.
Kata beliau, skim pelaburan ala pinjaman itu turut menggunakan helah untuk setiap deposit dibuat perlu menggunakan perkataan ‘buy goods’ bagi mengelak dikesan pihak perbankan berhubung aktiviti pelaburan haram dilakukan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sebelum ini pengarah dan pegawai pemasaran syarikat tersebut telah didakwa di mahkamah pada 2021, namun kedua-dua mereka dibebaskan tanpa dilepaskan disyaki kerana ada pengadu menarik balik laporan.
Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana mangsa yang belum membuat laporan polis bagi siasatan dapat diteruskan semula terhadap individu bertanggungjawab.
“Setakat ini, sebanyak 100 orang mangsa sudah membuat laporan dan minta MHO wakili mereka ekoran merasakan ditindas. Kerugian juga mencecah RM30 juta dan kita rasa ramai belum buat laporan.
“Syarikat ini menawarkan skim pelaburan yang mana mangsa perlu memberikan pinjaman kepada mereka dan menjanjikan pulangan 10 peratus daripada wang diberikan.
“Bagi meyakinkan peminjam, mereka mendakwa menjalankan perniagaan gimnasium, perhotelan, dan pelaburan lain sebelum gagal membuat pembayaran tahun 2020,” katanya.-KOSMO! ONLINE.