TAWAU – Kemaruk mahu meraih tontonan tinggi dalam aplikasi TikTok dipercayai mendorong seorang wanita membuat aksi tidak senonoh berlatar belakang kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Aksi wanita berusia 22 tahun itu akhirnya mengundang padah apabila ditahan, semalam susulan satu laporan polis dibuat mengenai video dalam aplikasi TikTok milik wanita terbabit yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan mendapati rakaman video berdurasi 17 saat memaparkan aksi lucah wanita terbabit itu dilakukan di tempat awam dan berlatar belakang kenderaan PDRM di kawasan bandar Tawau, kira-kira pukul 4 petang.
“Susulan rakaman itu, pengadu yang juga pegawai kanan polis bertindak membuat laporan terhadap pemilik akaun TikTok wanita terbabit.
“Sepasukan polis terus menjalankan tangkapan ke atas seorang wanita warga tempatan yang berusia 22 tahun disyaki milik akaun TikTok berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan, tujuan wanita terbabit mengambil video menari itu adalah sebagai hiburan dan untuk dimuat naik ke dalam akaun TikToknya.
“Sebuah telefon bimbit dan sekeping simkad milik suspek turut dirampas untuk siasatan lanjut serta rakaman percakapan.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 15 Ordinan Kesalahan Kecil Undang-Undang Negeri Sabah,” katanya. – KOSMO! ONLINE