fbpx

Wanita dalam video tular bukan kakitangan JAIPk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video mengenai satu program lawatan di sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) kesal dengan polemik yang timbul berikutan penyebaran klip video mengenai satu program lawatan di sebuah rumah ibadat bukan Islam di ibu negara pada 30 Julai lalu.

Katanya dalam satu kenyataan, video berkenaan adalah berkaitan lawatan yang diadakan secara tertutup dan dikendalikan oleh Global Unity Network (UNITY) dengan kerjasama JAIPk melibatkan 32 orang peserta terpilih dari seluruh Perak.

“Kesemua peserta terlibat sedang mengikuti lima kursus dakwah di bawah JAIPk yang bertujuan meningkatkan kefahaman mereka mengenai hal ehwal aktiviti dakwah, manakala lawatan berkenaan adalah salah satu modul dalam kursus tersebut.

“Lawatan itu adalah sebahagian daripada pengisian kursus untuk melatih dan meningkatkan keyakinan para peserta dalam menyampaikan dakwah terutamanya bagi membetulkan banyak salah faham mengenai Islam termasuk kebencian akibat sentimen Islamphobia,” katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, lawatan berkenaan bertukar menjadi polemik apabila sebuah akhbar menyiarkan klip video kenyataan salah seorang peserta wanita yang telah menimbulkan salah faham sehingga mengundang perdebatan hangat di laman media sosial.

“Jabatan ini terpanggil untuk menjelaskan bahawa wanita berkenaan bukan pegawai atau kakitangan JAIPk seperti yang didakwa, sebaliknya merupakan salah seorang peserta yang mengikuti kursus berkenaan secara sukarela.

“Bagaimanapun, jabatan ini memohon maaf kepada semua pihak terutamanya umat Islam atas kontroversi yang timbul susulan penganjuran kursus serta kenyataan peserta berkenaan sehingga menimbulkan salah faham selain menjejaskan nama baik kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama,” katanya.

JAIPk menegaskan, sebagai antara jabatan yang diberi amanah mengurus hal ehwal dan kepentingan agama Islam, mereka tidak sesekali mengendurkan pegangan terhadap prinsip-prinsip maqasid syariah yang selama ini mendasari perjalanan pentadbiran kerajaan negeri Perak.

“Jabatan ini mengambil maklum mengenai arahan dan beberapa ketetapan yang dibuat Kerajaan Negeri Perak setelah mendapat titah nasihat oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya isu tersebut ditangani segera bagi mengelakkan ia terus menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

“Bagi mencegah kontoversi seumpamanya berulang, JAIPk akan mengkaji semula modul dan kaedah pelaksanaan kursus berkenaan selain menetapkan garis panduan khusus kepada peserta yang menyertai program dakwah yang dianjurkan jabatan ini pada masa hadapan,” katanya.

Tambahnya, pihak JAIPk juga akan berbincang dengan para pemegang taruh serta pihak-pihak berkuasa agama Islam yang lain termasuk Jabatan Mufti Negeri Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk memikirkan kaedah atau pendekatan kursus dakwah yang lebih sesuai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI