PETALING JAYA – Helah seorang pelanggan wanita untuk menipu juruwang ketika membuat bayaran di kaunter sebuah kedai serbaneka berjaya ‘dihidu’ selepas alat pengesan pintar menyebut jumlah pembayaran sebanyak 10 sen.
Menerusi perkongsian di akaun TikTok @seehatstore, pemiliknya memaklumkan pihaknya nyaris ditipu pelanggan terbabit apabila wanita itu membuat pembayaran menggunakan kod QR.
Kesemua barangan yang dibeli wanita itu berharga lebih RM180.
“Minggu ini memang agak viral kes scam (penipuan) bayaran guna kod QR di media sosial. Hari itu kami dah kena (tipu) sekali, hari ini (kelmarin) datang seorang lagi.
“Macam biasa modus operandi sama sahaja. Beli barang RM180 lebih selepas itu bayar guna QR hanya 10 sen.
“Alhamdulillah sekarang Seehat Store sudah pakai peranti. Jadi setiap bayaran akan disambut dengan suara alat pengesan,” katanya.
Bercerita lanjut, pemilik akaun memberitahu, ketika kejadian juruwang yang juga pengurus kedai menegur pelanggan terbabit.
Wanita itu kemudiannya mereka cerita bagi melindungi kesalahannya.
“Akhirnya dia cakap nak pergi ambil kad kredit di kereta, memang lesap tanpa bayang. Alhamdulillah semua barang selamat di kedai,” jelasnya.
Perkongsian tersebut turut tular di media sosial dengan meraih tontonan lebih 290,000 dan 6,289 tanda suka.
Pelbagai maklum balas diberikan orang ramai dengan rata-rata mereka memberikan nasihat kepada golnogan peniaga untuk lebih berhati-hati dengan pelanggan yang menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai atau kod QR. – KOSMO! ONLINE
@seehatstore Cubaan scammer “QR pay 10sen” di Seehat Store? Minggu ni memang agak viral kes scam bayaran QR PAY di medsos. Hari tu kami dah kena sekali. Hari ini datang seorang lagi 😪. Macam biasa modus operandinya sama sahaja. Beli barang sekitar RM180+ lepas tu bayar guna QR pay , dan bayar hanya 10 sen. Alhamdulillah sekarang Seehat Store dah pakai device dari maybank. So setiap bayaran akan di sambut dengan suara device. Alhamdulillah juga yang jaga kaunter masa tu adalah manager kedai. Terus dia tegur orang tu cakap “eh you bayar 10sen jer”. Mula lah minah ni ubah cerita nak cover kesalahan. Siap cakap nak cari doctor sakit kulit. Apo? Akhirnya dia cakap nak pergi ambil card credit kat kereta. Memang lesap tanpa bayang. Alhamdulillah semua barang selamat di kedai. Kawan2 yg berniaga kena hati2. Even ada device pun kena perhati yg dia qr tu tally ke tidak dengan resit. Semoga Allah lindungi kita. Jangan lupa zikir pagi dan petang. #seehatstore #cubaanmenipuqr #fyp #fypシ゚viral ♬ original sound – Seehat Store Mart