PETALING JAYA – Transformasi sesebuah bank digital tempatan perlu melakukan perubahan dengan lebih pantas supaya dapat bergerak ke tahap yang lebih maju serta tidak ketinggalan dengan negara besar lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia harus berani beralih ke arah satu tahap yang lebih maju dan meyakinkan selain menerokai sesuatu yang baharu dimana ia belum dikuasai, dimiliki atau difahami oleh masyarakat.
“Disebabkan itu, dalam soal bank digital ini, arahan kita ia perlu diberi laluan pantas supaya mereka dapat bergerak maju dalam masa yang lebih cepat.
“Kita bukan hendak menjadi paling awal, namun dalam kalangan negara rantau kita bukan awal (dalam bidang bank digital), kita ketinggalan.
“Oleh itu, cabaran untuk bank digital lain termasuk GXBank, saya sarankan untuk melakukan perubahan itu dalam kadar yang lebih laju dan pesat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat GXBank dan Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan Perkongsian Serantau, di sini hari ini.
Hadir sama dalam program tersebut, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan bahawa kerajaan, melalui MITI serta Kementerian Digital sentiasa memberikan sokongan supaya bank digital tidak lagi terhambat dan terhalang dengan peraturan serta proses yang lama. – KOSMO! ONLINE