PUTRAJAYA – Sepasang suami isteri ditahan bersama 265 kilogram (kg) dedaun hijau disyaki ketum bernilai kira-kira RM10,600 ketika rondaan polis di Lebuh Raya Elite, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sebaik diperiksa, dua individu berada di dalam kenderaan itu iaitu pasangan suami isteri berusia 36 dan 34 tahun.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui 14 beg guni plastik hitam berisi dedaun hijau disyaki daun ketum.
“Soal siasat mendapati, daun ketum itu dipercayai untuk pasaran sekitar selatan Semenanjung,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, suspek pertama positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC) manakala, suspek kedua pula negatif dadah.
Wan Kamarul Azran berkata, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Kami mengalu-alukan orang awam untuk menyalurkan maklumat jenayah terutama berkaitan dadah dan juga ketum dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah di negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE