PETALING JAYA – “Nombor plat GOLD tapi jadi GQL0. Dekat sejam sangkut nak keluar parkir tak boleh.”
Demikian rungutan seorang wanita apabila nombor pendaftaran kenderaannya gagal direkodkan dengan baik dalam sistem imbasan tempat letak kenderaan.
Dia yang berkongsi luahan di TikTok Mama Cebah berkata, situasi itu bukanlah pengalaman kali pertama, namun sudah beberapa kali berdepan nasib sama terutama ketika mengunjungi pusat beli-belah yang menggunakan sistem parkir tanpa tunai.
Umum mengetahui kebanyakan tempat letak kenderaan khususnya di pusat beli-belah sudah menggunakan kamera imbasan untuk mengesan nombor plat sebelum membenarkan ia masuk ke dalam kawasan tersebut.
Bagaimanapun, sistem yang disediakan bagi memudahkan pengunjung itu ternyata boleh mengundang masalah kepada sesetengah pemandu seperti mana dihadapi oleh wanita terbabit.
“Hampir sejam sangkut nak keluar parkir tetapi tak boleh. Nombor plat GOLD ini JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) yang jual, bukan kita pandai-pandai buat atau guna nombor kenderaan ‘fancy’.
“Setiap kali masuk parkir mana-mana pusat beli-belah, pasti salah baca. Hari ini (kelmarin) dia baca GQL0620. Setiap kali (jadi masalah sama) rasa stres.
“Bila dah kena macam ini, pihak pengurusan minta pergi ke mesin pembayaran automatik. Bila pergi mesin, masuk nombor plat (GQL0620) dia kata tiada rekod, hubungi pihak ‘intercom’ tak angkat,” kata wanita itu.
Bercerita lanjut, setelah hampir sejam menunggu, wanita itu kemudiannya meminta pertolongan polis bantuan yang kebetulan berada di lokasi tersebut sebelum berjumpa pihak pengurusan.
Wanita itu akhirnya berjaya keluar dari kawasan parkir pusat beli-belah berkenaan. – KOSMO! ONLINE