fbpx

Saman Rafidah RM250, 000, bekas majikan pernah ajak selesai cara baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARIS mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafidah bagi membersihkan reputasi syarikat pengeluar makanan sejuk beku dan rumah produksi miliknya. - FOTO SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Difitnah sehingga reputasi tercalar, usahawan Datuk Haris Embong tidak menyesal mengambil pengacara Rafidah Ibrahim bekerja bawah syarikatnya biarpun prestasi tidak seperti diharapkan.

Haris berkata, segala yang berlaku sejak fitnah Rafidah terhadapnya disebarkan tiga tahun lalu dianggap sebagai pengajaran yang mematangkan.

“Saya mengenalinya di sebuah majlis keusahawanan pada Mac 2021. Selepas menyapa saya, dia menyatakan hasrat untuk bekerja tetapi saya maklumkan syarikat tidak mengambil pekerja susulan pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun saya bersetuju mengambilnya sebagai Ketua Pegawai Pemasaran pada Jun 2021, sebelum khidmatnya ditamatkan pada 26 Ogos 2021 atas persetujuan bersama.

“Apabila tohmahan mula tersebar menerusi media sosial selepas dia tidak lagi berkhidmat dengan kami, awalnya saya memang mahu menyelesaikan hal ini dengan baik,” katanya pada sidang media yang diadakan di RE Kitchen, hari ini.

Hadir sama, peguam korporat kumpulan syarikat berkenaan iaitu Datuk Mohd Hifdzi Hamzah dari Tetuan Hifdzi Kee Hanisah & Co; ahli Lembaga Pengarah Arisprop Holdings, Ismail Taib dan peguam yang menguruskan kes saman fitnah, Foo Hong Chuen mewakili Tetuan Izral Partnership.

Menurut Haris, tujuan penjelasan kes saman fitnah yang memihak kepadanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lalu adalah bagi membersihkan reputasi syarikat pengeluar makanan sejuk beku dan rumah produksi miliknya.

“Sebagai syarikat yang mempunyai imej bersih sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, saya harap kepercayaan rakan niaga serta pelanggan dapat dikukuhkan kembali,” ujarnya.

Pada masa sama, akuinya tindakan penyanyi dan pelakon terbabit juga tidak membuatkan pihaknya serik membantu individu memerlukan pekerjaan dan menjalin kerjasama dengan selebriti lain.

“Kalau nak cakap serik, saya secara peribadi suka membantu orang bahkan syarikat kami juga sedia bekerja dengan artis lain pada masa akan datang.

“Dalam syarikat sendiri pun, ada program khas membantu usahawan dan golongan asnaf, manakala menerusi rumah produksi, kami sudah menerbitkan banyak drama dan bakal hasilkan filem.

“Situasi yang berlaku ini tidak menyekat saya dan syarikat yang menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat,” katanya.

Pada 31 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Rafidah membayar ganti rugi berjumlah RM250,000 kepada Haris dan syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn. Bhd.b berhubung hantaran fitnah yang dibuat di akaun media sosialnya pada 2021.

Keputusan itu dibuat Hakim Dr Mohd Johan Lee @ John Lee Kien How selepas membenarkan saman fitnah dikemukakan Datuk Haris Embong, 47, selaku plaintif pertama manakala syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn. Bhd. yang menjalankan perniagaan sejuk beku sebagai plaintif kedua.

Rafidah juga dikenakan faedah lima peratus setahun bermula penghakiman sehingga selesai membuat pembayaran ganti rugi itu.

Tambah Haris, sebelum ini dia tiada masalah untuk menyelesaikan perkara tersebut secara baik, namun tiada maklum balas daripada selebriti itu yang memaksanya membawa isu berkenaan ke mahkamah.

“Dari awal lagi saya tiada masalah untuk berbincang secara baik. Malah, ketika dia memuat naik hantaran berunsur fitnah dalam media sosial sebelum ini, saya sudah cuba menghubunginya berulang kali selain turut menghantar mesej.

“Namun jawapan yang saya terima mengecewakan apabila dia meminta saya menunggu maklum balas peguamnya dan kalau nak cakap fasal maaf, sebagai orang Islam kita memang disarankan memaafkan orang lain.

“Saya juga tidak pernah meletakkan jumlah tuntutan bagi kes ini, sebaliknya denda yang dikenakan terhadapnya diputuskan mahkamah,” katanya.

Begitupun, beliau enggan mendedahkan jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung akibat fitnah dilemparkan Rafidah.

Terdahulu, Rafidah pernah bekerja bersama Arisprop Holdings Sdn. Bhd. sebagai ketua pemasaran syarikat berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI