SEPANG – Seorang remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistrest di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu.
Abang Danny Abang Azlan Shah hanya mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan bagi kesalahan itu di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Tertuduh yang berasal dari Sibu, Sarawak didakwa mengedarkan dadah jenis methamphetamine seberat 15.75 kilogram (kg) di Pejabat Jenayah Narkotik, Aras 2, KLIA Terminal 2 pada pukul 9.24 malam.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili peguam Darren Ee. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 1 November ini.
Abang Danny yang merupakan anak kedua daripada lima beradik tidak dibenarkan diikat jamin kerana kes tersebut merupakan jenayah berat narkotik.
Sementara itu, Darren memaklumkan, anak guamnya yang bekerja sebagai tukang cuci kereta diperdaya dengan tawaran pekerjaan sebagai penghantar barang di Kuala Lumpur.
“Dia terima tawaran itu secara online untuk menghantar barang dari Kuala Lumpur. Dia tidak pernah membuka bungkusan tersebut, malah tidak tahu akan isi kandungannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE