GUA MUSANG – Jalan Persiaran Raya bermula dari lampu isyarat Persimpangan Mahkota sehingga lampu isyarat Persimpangan Bendahara di sini ditutup selama lima jam sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, esok.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laluan dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu di bandar Gua Musang itu ditutup bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.
Menurutnya, orang ramai dan pengguna jalan raya turut dinasihatkan agar merancang perjalanan sebaik mungkin selain mengenal pasti laluan yang ditutup.
“Sehubungan itu, pengguna jalan boleh menggunakan laluan alternatif bagi mengelak sebarang kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh laluan ditutup.
“Semua pihak juga perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pegawai polis yang bertugas bagi memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang proses penamaan calon,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, semua calon yang bertanding harus mematuhi segala undang-undang dan akur peraturan selain tidak melakukan kesalahan yang boleh mengganggu gugat kelancaran proses berkenaan.
Tambah Muhamad Zaki, semua aktiviti pengendalian dron di negara ini tertakluk mengikut Seksyen 4, Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98 dan Peraturan 104-144 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia dan Civil Aviation Directives (CADS). – KOSMO! ONLINE