MELAKA – Seorang penjawat awam dan pesara kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat dan menerima wang RM27,100.
Tertuduh, Yusmawati Mohamad Yussop, 48, dan Rosni Leman, 61, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Yusmawati yang bertugas sebagai ketua pembantu tadbir didakwa menerima wang RM27,100 tanpa balasan daripada kontraktor sebuah syarikat pengiklanan di Melaka. Suapan itu bagi mendapatkan kerja pembekalan yang ditawarkan jabatan tersebut.
Rosni pula didakwa bersubahat dengan Yusmawati melakukan kesalahan itu.
Yusmawati didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, manakala Rosni didakwa di bawah Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM10,000 setiap seorang untuk kesemua pertuduhan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sehingga kes selesai. – KOSMO! ONLINE