HULU SELANGOR – Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini diberitahu pihak pendakwaan dalam kes pelakon Hafidz Roshdi berhubung pertuduhan mencederakan bekas isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri belum mendapat arahan lanjut mengenai isu penarikan laporan polis yang dibuat wanita itu.
Nurul Shuhada dilaporkan telah menarik balik laporan polis pada 6 Julai lalu.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan pada sebutan semula kes di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret.
Menurut Asmah, arahan lanjut itu belum diperoleh kerana terdapat isu kesuntukan masa selain terdapat isu yang tidak boleh didedahkan di mahkamah terbuka.
“Justeru itu, kami memohon mahkamah memberikan masa selama dua minggu jika dibenarkan,” kata Asmah.
Sementara itu peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Hafidz tidak membantah sekiranya mahkamah menetapkan satu tarikh baharu bagi sebutan kes seterusnya berkaitan penarikan laporan polis pengadu.
Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan 13 Ogos ini bagi sebutan semula kes.
Untuk rekod mahkamah sebelum ini dimaklumkan mengenai laporan tarik balik kes dan hari ini pendakwaan akan memberi jawapan sama ada kes itu akan diteruskan atau sebaliknya.
Pada 13 Mac 2023, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 30, didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada, 30, dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.
Hafidz didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pukul 3.22 pagi 2 Mac tahun lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Pertuduhan itu turut dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323 kanun yang sama. – KOSMO! ONLINE