SEPANG – Seorang pekerja hotel maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Nilai-Salak Tinggi-Bukit Changgang, di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mufadil Mokhtar, 42, maut serta-merta di lokasi kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan mendapati, sebuah kereta Proton Saga berhenti di lorong tengah persimpangan itu kerana lampu isyarat bertukar merah.
Bagaimanapun, katanya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS-X gagal mengelak sebelum merempuh bahagian belakang kereta itu.
“Kami masih menyiasat kejadian itu dan meminta orang ramai supaya tampil ke depan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,” katanya ketika dihubungi malam tadi. – KOSMO! ONLINE