TELUK INTAN – Seorang pegawai dan anggota polis cedera selepas dilibas dengan parang oleh suspek kes dadah dalam kejadian di Jalan Melati Padang Tembak di sini semalam.
Kejadian pada pukul 5.30 petang itu mengakibatkan Inspektor Tie Ngie Sieng mengalami luka sepanjang empat sentimeter di tangan kiri, manakala Koperal Detektif Mohd. Rasyidi Che Ross pula luka dan putus urat di pergelangan tangan kiri.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Hilir Perak menerima aduan dibuat ahli keluarga suspek mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di rumah mereka.
Sepasukan pegawai dan anggota dibantu Unit Kereta Peronda pergi ke lokasi namun suspek berusia 43 tahun menghalang polis untuk memasuki rumah tersebut.
“Suspek mengamuk menggunakan sebilah parang sehingga menyebabkan cermin pintu rumahnya pecah. Lelaki itu juga enggan memberi kerjasama walaupun sudah dipujuk menyebabkan polis terpaksa memotong kunci mangga rumah.
“Bagaimanapun, semasa proses tangkapan dibuat, berlaku pergelutan antara suspek dan polis sehingga menyebabkan seorang pegawai dan anggota cedera,” katanya hari ini.
Menurut Azizi, hasil pemeriksaan di rumah itu, pihaknya menjumpai ganja seberat 84.72 gram dan methamphetamine pula 5.54 gram. Ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.
“Suspek turut cedera dan dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut. Mohd. Rasyidi pula akan menjalani pembedahan bagi menyambung urat yang terputus,” katanya. – KOSMO! ONLINE