KEPUTUSAN seri 1-1 dengan PDRM FC pada aksi Liga Super di Stadium Selayang kelmarin menyedarkan Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada mimpi indah sebelum menghadapi tugasan lebih getir di pentas Piala FA selepas ini.
Secara positifnya, keputusan itu memberi gambaran sebenar buat pengendali JDT, Hector Bidoglio untuk merangka strategi lebih baik berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad ini.
“Kami tahu perlawanan ini (menentang PDRM) akan menjadi sukar, namun pemain terus mencuba untuk menjaringkan gol menerusi penguasaan bola dan juga hantaran jauh. PDRM bermain baik khususnya ketika lakukan tugasan bertahan.
“Keputusan akhir tidak menunjukkan apa yang berlaku dalam padang kerana kami ada banyak situasi terbaik. Saya sentiasa mahukan kemenangan, semua orang dalam pasukan bekerja keras untuk menang tetapi inilah bola sepak.
“Sekarang kami kena perbaiki prestasi pasukan untuk membolehkan kami bermain lebih baik,” katanya.
The Cops mencipta kejutan apabila terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Shahrel Fikri Fauzi pada minit ke-22, namun berselang 10 minit selepas itu, gol daripada Oscar Arribas berjaya memastikan Harimau Selatan daripada mengalami kekalahan pertama musim ini.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak menggugat kedudukan JDT di puncak Liga Super apabila mengutip 19 mata, enam mengatasi Selangor FC di tangga kedua selepas mengharungi tujuh perlawanan.
Tempoh dua hari ini menjadi detik penting buat Bidoglio bagi memperbaiki kelemahan pasukan untuk mengesahkan slot final Piala FA selepas mereka hanya menang 2-1 ke atas KDA pada separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman bulan lalu.