TIDAK ada perkara yang lebih mengecewakan berbanding melihat atlet mengalirkan air mata ketika mereka tidak dapat merealisasikan sasaran dalam setiap kejohanan disertai.
Itulah yang berlaku kepada perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei yang tersingkir di peringkat kumpulan ketika menggalas cabaran kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik paris 2024.
Pada aksi terakhir Kumpulan H di Porte de la Chapelle Arena, Paris kelmarin, bekas juara remaja dunia itu dipaksa bermandi peluh sebelum tewas 17-21, 22-20, 21-23 kepada pemain Korea Selatan, Kim Ga Eun.
Jin Wei mengakui, tangisannya bukan hanya disebabkan kecewa tidak dapat meneruskan kemaraan, malah ia turut berpunca daripada faktor kepenatan yang terpaksa ditanggung pada perlawanan tersebut.
“Ketika saya berada di mata kemenangan pada set ketiga, memang dia ada beri tekanan. Saya sudah berikan yang terbaik dan fikir ada peluang (menang) tetapi tidak dapat dilakukan.
“Kedua-duanya (penat dan kecewa) pun ada tetapi memang semua pemain merasainya. Memang cemas juga pada penghujung perlawanan dan saya rasa bersalah kepada seluruh rakyat Malaysia kerana lakukan kesilapan,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga enggan menjadikan masalah kesihatan yang dihadapi sebagai alasan atas kekalahan tersebut selain sedia untuk memperbaiki kekurangan dalam permainan sebaik sahaja pulang ke tanah air nanti.
“Tidak ada sebarang alasan kerana sudah kalah. Sebaik pulang nanti, saya akan tengok apa lagi yang perlu diperbaiki kerana saya percaya masih ada ruang lagi boleh ditingkatkan,” ujar Jin Wei.