GANDINGAN Pearly Tan-M. Thinaah melakar sejarah baharu arena sukan Malaysia apabila menjadi beregu wanita pertama negara yang berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir pada temasya Sukan Olimpik.
Beregu yang menghuni ranking ke-12 dunia itu memahat sejarah tersebut selepas membenam cabaran pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong di pusingan suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung semalam.
Pada aksi pusingan lapan terbaik di Porte de la Chapelle Arena, Paris itu, Pearly-Thinaah mudah mengenepikan cabaran pasangan No. 10 dunia itu apabila menang menerusi aksi straight-set 21-12, 21-13 dalam tempoh 42 minit.
“Kami agak gementar dan tidak dapat tidur semalam (kelmarin) kerana perlawanan ini sangat penting. Kami hanya masuk ke gelanggang dan mengingatkan satu sama lain untuk kekal fokus dan ia berhasil,” kata Pearly selepas tamat perlawanan.
Biarpun turun menentang beregu lawan yang menghuni ranking lebih tinggi, namun pasangan negara beraksi dalam keadaan cukup tenang apabila menguasai sepenuhnya aksi set pertama dengan perbezaan mata cukup besar.
Ketika mendahului 15-7, So Yeong-Hee Yong cuba untuk merapatkan kedudukan tetapi usaha itu nyata sia-sia apabila Pearly-Thinaah kekal fokus dengan permainan sendiri sebelum menang 21-12.
Memasuki set kedua, aksi lebih kemas ditampilkan pasangan Korea Selatan apabila saling bertukar servis dengan beregu negara, namun gagal untuk menjarakkan kedudukan dengan perbezaan mata lebih besar.
Sedar dengan tekanan yang dihadapi So Yeong-Hee Yong, Pearly-Thinaah menggunakan kesempatan tersebut untuk melakukan asakan demi asakan sebelum mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir menerusi kemenangan muktamad 21-12, 21-13.
Menanti pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu di separuh akhir hari ini adalah beregu No. 1 dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan selepas menewaskan pasangan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-15, 21-8.
Sebagai rekod, Pearly-Thinaah dan Qing Chen-Yi Fan sudah membuat perhitungan dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini di mana pertemuan itu memihak kepada beregu China itu dengan keputusan 21-17, 22-20.