fbpx

KKM ‘isytihar’ perang terhadap gula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) amat memandang serius tentang pengambilan gula yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia yang merupakan antara penyebab utama pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) berkaitan pemakanan terutamanya obesiti dan diabetes.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 yang diumumkan baru-baru ini menunjukkan peningkatan prevalen berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu dari 50.1 peratus pada tahun 2019 kepada 54.5 peratus.

Katanya, walaupun prevalen diabetes dalam kalangan dewasa Malaysia pula menunjukkan sedikit penurunan iaitu 15.6 peratus berbanding 18.3 peratus pada tahun 2019, namun Malaysia masih tersenarai antara negara dengan prevalen
tertinggi di Asia Tenggara dengan nisbah satu daripada enam rakyat Malaysia menghidap diabetes.

“KKM telah mengambil pelbagai pendekatan untuk mengukuhkan lagi langkah bagi membendung masalah ini melalui Perang Terhadap Gula atau ‘War on Sugar’.

“Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024-2030 telah dibangunkan dan dilancarkan pada 29 Jun lepas.

“Pelan ini mengandungi enam strategi utama dengan 38 inisiatif dan 65 aktiviti yang merangkumi polisi, advokasi dan kerjasama public-private partnership melalui pendekatan masyarakat dan negara yang menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi menggalakkan pihak industri makanan dan minuman untuk mereformulasi produk kepada yang lebih sihat, beliau berkata, pihaknya telah melaksanakan Healthier Choice Logo (HCL) pada tahun 2017 dan pengenaan cukai ke atas minuman manis bergula (SSB) sejak Julai 2019.

“Usaha mengurangkan pengambilan gula ini diteruskan dengan pelaksanaan Kempen ‘1 Sudu Teh Dah Cukup, Kurang
Lebih Baik, Tiada TERBAIK!’ yang menumpukan kepada penyediaan minuman di kafetaria, restoran dan kedai makan di seluruh negara.

Jelas Dzulkefly, pihaknya juga terus mempergiatkan program-program di komuniti untuk mengurangkan pengambilan gula harian dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Pada tahun lepas, KKM telah menjalankan saringan kepada 64,846 individu di bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) melalui KOSPEN WOW di tempat kerja dan Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) di komuniti.

“Selain itu, KKM telah menubuhkan 33 Wellness Hub di seluruh negara bagi meningkatkan kesejahteraan kesihatan kepada komuniti secara bersasar dalam pembudayaan hidup sihat termasuk mengurangkan pengambilan gula, dengan jumlah sebanyak 765,843 klien telah mendapatkan perkhidmatan tersebut pada 2020-2023,” ujarnya.

Katanya, usaha ini turut diperkukuhkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang turut melancarkan Kempen ‘Kurang Gula, Kurang Harga’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI