fbpx

Kematian Teoh Beng Hock: Lihat keperluan panggil keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mendiang Beng Hock

PETALING JAYA – Memanggil semula ahli keluarga Teoh Beng Hock untuk siasatan lanjut antara langkah diambil kira dalam proses melihat semula kes kematian itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, berkata buat masa ini pihaknya masih menunggu arahan lanjut berhubung keperluan menjalankan semula siasatan berkaitan kes itu.

“Sebaik arahan diberikan (siasatan semula), kita akan teliti semula kes itu, jelas itu perkara utama yang akan dilakukan. Segala perkembangan (siasatan) akan ditaklimatkan kemudian,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Ketika ditanya sama ada keluarga Beng Hock akan turut dipanggil bagi tujuan itu, Mohd. Shuhaily berkata, pihaknya akan meneliti keperluan sama ada mereka akan dipanggil semula atau sebaliknya.

“Kita akan melihat keperluan untuk memanggil semua pihak, kalau kita buka balik (siasatan), sudah tentu kita mulakan balik semua.

“Apa juga maklumat terbaharu yang mereka ada, kita harus nilai semulalah. Kemungkinan untuk memanggil mereka semula adalah tinggi,” jelasnya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju untuk pihak polis membuka semula kertas siasatan berkait kes kematian berkenaan.

Anwar dipetik berkata, pihaknya turut memberi jaminan siasatan kali ini akan dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak, khususnya mengambil kira pandangan Mahkamah Rayuan berhubung kes itu pada 5 Sept 2014.

Untuk rekod, mendiang Teoh ditemukan maut pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI