KAPTEN Kuala Lumpur City FC (KL City), Paulo Josue lebih selesa mengutamakan kejayaan pasukan berbanding mengejar rekod dan pencapaian peribadi untuk menoktahkan statusnya selaku penjaring gol terbanyak sepanjang zaman pasukan itu.
KL City menang 3-0 ke atas Sabah, namun Josue kerana gagal menyudahkan sepakan penalti biarpun turut menyumbangkan satu gol pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.
Sekiranya mampu meledak dua jaringan, bintang naturalisasi negara itu akan melengkapkan gol ke-68 bersama The City Boys sekali gus memotong rekod Fandi Ahmad selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman Kuala Lumpur (KL) dengan 67 gol.
“Sudah pasti saya mampu jaringkan lebih banyak gol, namun terlepas peluang menerusi sepakan penalti. Saya tidak tahu apa yang saya fikirkan ketika itu dan saya rasa ia adalah penalti terburuk saya sepanjang karier,” katanya.
Ketika ini, Josue yang lebih sinonim dengan gelaran Mr. Kuala Lumpur sudah pun menyamai rekod Fandi dan kini berada di landasan tepat untuk mengukir namanya sebagai legenda Kuala Lumpur.
Di sebalik isu gaji sedang menghimpit pasukan, KL City jelas tidak terganggu apabila kekal tanpa bolos sepanjang tiga perlawanan terakhir di Cheras
“Semuanya berjalan dengan baik sama ada ketika bertahan ataupun menyerang. Sudah pasti perlawanan jadi sedikit mudah kerana layangan kad merah dan kami sentiasa bersabar untuk menanti ruang terbaik.
“Kami akhirnya berjaya mendapatkan peluang terbaik untuk menjaringkan gol. Sudah pasti ia jadi detik terhebat untuk mendapatkan tiga mata,” katanya.